Pada 23 April 2017, Akhbar Harian Metro telah menyiarkan berita kem pengawas sekolah "Empowering Leaders" yang telah diadakan pada 3-5 Mac di Maktab Polis Kuala Kubu Baru.
Laporan berita tersebut dipetik dari Harian Metro online.
Nurul Husna Mahmud
‘Gemuruh jiwa semangat membara..’ antara bait lagu Gemuruh bergema memenuhi ruang sepi Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu sebaik dinyanyikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit Kajang, Selangor baru-baru ini.
Biarpun berjemur di tengah panas, 103 peserta yang menyertai Kem Kepimpinan Pengawas 2017 itu tidak hilang fokus sebaliknya berjaya menghabiskan rangkap lagu terbabit penuh semangat.
Sesekali kedengaran suara Komanden Kem Ammar Zainal memberi dorongan agar peserta terus menyanyi dengan penuh semangat sekali gus menampilkan kewibawaan kental sesuai peranan mereka dalam barisan kepimpinan sekolah selain guru.
Kukuh peribadi pelajar
Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SMK Jalan Bukit Kajang, Mohd Hafiz Abdullah mengakui penting bagi pihaknya terus mengukuhkan barisan kepimpinan pelajar yakni pengawas kerana mereka ini ialah ‘mata’ guru di sekolah.
Kata Hafiz, program itu mendapat sokongan penuh pengetua Roslina Che Omar ialah program tahunan dalam melentur ciri kepimpinan, keterampilan, mahupun daya fikiran di luar kotak dan kesediaan membantu guru.
“Pelajar yang terpilih menyertai kem kepimpinan kali ini ialah lantikan pengawas dari tingkatan dua hingga tingkatan lima dan jumlah peserta keseluruhannya 103 orang.
“Pihak sekolah mengambil inisiatif menganjurkan program ini kerana pentingnya mereka didedahkan kepada skil serta kemahiran memimpin.
“Situasi di sekolah perlu dihadapi warga pendidik tidak dinafikan mencabar apabila berdepan dengan isu pelajar generasi kini tidak boleh diarah mahupun disuruh sewenang-wenangnya.
“Pendekatan diplomasi diambil dengan harapan pelajar dibentuk ini boleh menggunakan persahabatan mereka menangani rakan bermasalah. Justeru sebagai pengawas iaitu badan pelajar perlu dikukuh agar mereka dapat membantu rakan,” katanya.
Justeru pengisian dalam kem berkenaan yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu membabitkan pelbagai program antaranya aktiviti dalam kumpulan, kawad, makan beradab dan sebagainya.
Bijak sesuaikan diri
Bagi peserta kem Priya Darshini Subramaniam, ini bukanlah program kepimpinan pertama disertainya. Namun perasaannya tetap berbeza apabila tanggungjawab lebih besar iaitu membantu memimpin rakan sekumpulan.
“Saya sering mengikuti program anjuran pihak sekolah dan kem ini turut dianjurkan setiap tahun.
“Cumanya pengisian serta lokasi berbeza membuatkan pengalaman menjadi peserta mengujakan. Selain menjadi peserta terdapat peranan tambahan iaitu menjadi fasilitator dalam pasukan sendiri.
“Tambah pula kumpulan bukan hanya rakan setingkatan saja sebaliknya ada peserta lebih muda membuatkan saya perlu bijak menyesuaikan diri agar semua dapat bergaul serta bekerjasama dengan baik,” katanya mengakui seronok dengan pengalaman menjadi fasilitator dalam kumpulan Perfecto Perfecto.
Kenal potensi diri
Sementara itu, wakil peserta lelaki, Muhammad Danial Iman Mohd Rosman, berkata kem berkenaan sebagai platform mengenal potensi diri.
Dia yang juga fasilitator kumpulan Potato berusaha melaksanakan tanggungjawab memimpin ahli kumpulannya untuk melaksanakan tugasan sebaik mungkin.
“Apabila berada dalam kumpulan berlainan latar belakang, saya dan rakan sekumpulan akan belajar mengenali kelebihan serta kelemahan antara satu sama lain.
“Biarpun berdepan dengan kesukaran, kami tidak putus asa serta berbincang agar dapat menyelesaikan masalah dalam tugasan.
“Ini boleh dipraktis apabila kami pulang ke sekolah. Apabila berdepan masalah kami belajar untuk bekerjasama agar isu pelajar bermasalah dapat diatasi bersama,” katanya.
Dia tidak menolak penganjuran kem berkenaan mempunyai manfaat besar dalam melatih barisan pemimpin menyedari peranan mereka terhadap komuniti sekolah.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:09 AM
Comments
Post a Comment